(Kencing Manis)
1. Apakah dia Penyakit Diabetis?
Penyakit Diabetis atau dikenali sebagai Penyakit Kencing Manis ialah suatu keadaan di mana kadar pada gula (glukos) dalam darah terlalu tinggi dari paras normal. Keadaan ini disebabkan oleh :
i) Berkurangan atau ketiadaan insulin disebabkan oleh organ pancreas yang tidak menghasilkan cukup insulin.
ii) Kalis insulin, di mana otot, lemak dan sel-sel organ hati tidak bertindak balas terhadap insulin atau kedua-duanya sekali.
2. Ada beberapa jenis Penyakit Diabetis?
Diabetis boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu :
i) Diabetis bersandar insulin - jenis pertama (Type I diabetis)
Diabetis jenis pertama juga dikenali sebagai diabetis bersandar insulin (IDDM - 'Insulin Dependent) atau diabetis awal remaja. Diabetis ini sering didapati pada golongan kanak-kanak dan remaja. Organ pankreas hanya menghasilkan sedikit atau tiada insulin dan pengambilan insulin melalui suntikan adalah diperlukan untuk terus hidup. Tanpa pengurusan seharian yang sempurna, kesihatan pesakit akan terjejas.
ii) Diabetis bebas insulin - jenis kedua (Type II diabetes)
Diabetis bebas insulin - jenis kedua juga dikenali sebagai diabetis peringkat permulaan dewasa. Jenis diabetis ini merupakan yang lumrah didapati iaitu di antara 90 peratus hingga 95 peratus dari jumlah kes diabetis. Ianya lazimnya didapati semasa dewasa. Dalam situasi ini, organ pankreas tidak menghasilkan cukup insulin untuk menstabilkan paras glukos dalam darah. Biasanya tubuh badan tidak bertindak balas sepenuhnya kepada insulin. Kebanyakan orang yang menghidap diabetis bebas insulin ini tidak sedar yang mereka menghadapi penyakit tersebut. Diabetis jenis ini biasanya berlaku seiring dengan faktor usia lanjut, gemuk (obesity), terencat ketahanan glukos, keturunan atau bangsa (genetic) dan kurang bersenam.
iii) Diabetis ketika hamil (gestational diabetes)
Diabetis ketika hamil merupakan sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. Ketika mengandung, diabetis ketika hamil memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak memberi kesan kepada kandungan. Sebahagian kecil pula antara 5 hingga 10 peratus didapati menghidap diabetis bebas insulin (jenis kedua). Wanita yang mengalami diabetis ketika hamil mempunyai risiko 20 hingga 50 peratus menghidap diabetis dalam tempoh 5 hingga 10 tahun. Diabetis ketika hamil juga meningkatkan risiko anak damit mempunyai bilirubin yang tinggi (demam kuning) berbanding anak damit normal.
iv) Diabetis bentuk lain
Terdapat diabetis yang disebabkan oleh faktor keturunan (peringkat permulaan dewasa), pembedahan, dadah, kurang zat pemakanan, jangkitan dan penyakit lain. Diabetis bentuk lain membentuk 1 hingga 5 peratus daripada semua penyakit kencing manis/diabetis yang dikenal pasti.
3. Apakah faktor-faktor berisiko tinggi yang boleh menyebabkan diabetis?
Ada beberapa faktor-faktor berisiko tunggi yang boleh menyebabkan diabetis, antaranya ialah :
* Penyakit diabetis di dalam keluarga
* Obesiti/kegemukan
* Berumur 45 tahun ke atas
* Tekanan darah tinggi
* Kandungan berlebihan triglycerides dalam darah (sejenis molikul lemak)
* Kandungan berlebihan kolesterol dalam darah
* Kurang melakukan aktiviti fizikal/bersenam
4. Apakah tanda-tanda amaran dan simptom diabetis?
Kandungan berlebihan glukos dalam darah boleh menyebabkan beberapa masalah seperti:
* Kerap membuang air kecil
* Sering merasa dahaga dan/atau lapar
* Merasa keletihan-kurang bertenaga
* Berat badan menurun
* Penglihatan kabur
Walau bagaimanapun, oleh kerana diabetis bebas insulin jenis kedua berlaku secara perlahan, kebanyakan orang tidak menyedari yang mereka mengalami kandungan berlebihan glukos dalam darah kerana mereka tidak mengalami sebarang simptom-simptom tersebut.
5. Apakah masalah yang dihadapi sekiranya diabetis tidak dikawal?
Sekiranya diabetis tidak dikawal dalam tempoh yang berlanjutan, penghidap diabetis akan sentiasa mempunyai kadar gula yang tinggi di dalam darahnya . Kadar gula tinggi yang berterusan akan mendatangkan banyak perubahan pada bahagian saluran darah dan juga urat sataf (nerve). Perubahan-perubahan ini pula boleh mendatangkan banyak penyakit lain seperti :
* Hujung kaki dan tangan menjadi sebal, hilang deria sentuh, disebabkan oleh kerosakan urat/nerve (diabetic neuropathy)
* Gatal-gatal badan yang disebabkan kerosakan urat/nerve
* Kurang daya syahwat bagi kaum lelaki yang disebabkan kerosakan urat/ nerve dan saluran darah (diabetic neuropathy)
* Sering kencing malam disebabkan buah pinggang gagal mengitar air seperti biasa. Ini mengakibatkan pundi kencing penuh dengan lebih cepat.
* Kegagalan fungsi buah pinggang. Ini disebabkan oleh kerosakan saluran darah dan ginjal disebabkan kandungan gula yang tinggi terlalu lama (diabetic neuropathy)
* Sakit jantung disebabkan kerosakan saluran darah
* Serangan angin ahmar (strok) disebabkan kerosakan saluran darah
* Buta disebabkan kerosakan mata. Kanta mata menjadi kurang kenyal disebabkan kandungan gula yang tinggi (diabetic neuropathy)
Bagaimanapun sekiranya penghidap diabetis mengambil langkah yang sewajarnya, kadar gula dalam darah boleh dikawal dan penghidap diabetis dapat hidup seperti orang lain. Makanan yang seimbang perlu dikawal seumur hidup disebabkan penyakit diabetis masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya.
6. Golongan apakah yang berisiko tinggi?
Mereka yang dikelaskan dalam kumpulan risiko lebih tinggi adalah :
* Mereka yang mempunyai keturunan yang menghidap diabetis (ibu bapa adik-beradik)
* Mereka yang mempunyai berat badan agak tinggi
* Mereka yang pernah mempunyai radang pada Pankreas
* Wanita mengandung yang pernah menghadapi (diabetis) ketika hamil.
Bagaimanapun penyakit diabetis mampu menyerang sesiapa juga pada semua peringkat umur sekiranya pemakanan dan minuman tidak dijaga.
7. Apakah kesannya jika diabetis tidak dikawal?
Bagi pesakit diabetis yang tidak mengawal penyakit, mereka berhadapan dengan kesan yang lebih serius. Antara kesannya ialah :
* Kegagalan buah pinggang
* Serangan jantung
* Kebutaan/katarak
* Koma (hilang kesedaran)
* Angin ahmar (strok)
* Sakit saraf atau 'mati pucuk'
* 'Gangrene' atau anggota tubuh mati/membusuk
8. Bagaimana caranya mengelakkan dari mengidap penyakit diabetis?
Perubahan cara hidup mampu mengelakkan diabetis terutama pada mereka yang mempunyai kecacatan daya tahan glukos (Impaired glucose tolerance - IGT) atau kecacatan puasa glukos (Impaired fasting glucose - IFG). Kajian menunjukkan kedua-dua keadaan merupakan tanda awal diabetis tetapi mampu diterbalikkan dengan kawalan pemakanan yang betul. Selain itu, tidak salah bagi mereka yang tidak mempunyai masalah awal untuk turut serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan diabetis dengan melakukan beberapa perkara seperti :
* Pemakanan
Ramai berpendapat bahawa pemakanan hanya merangkumi pemakanan gula sahaja, tetapi walaupun pemakanan gula seharusnya disekat, ini tidak bermakna makanan-makanan kesemuanya dapat dimakan seberapa banyaknya. Pemakanan seharusnya dikurangkan kerana selain daripada gula, bahan-bahan karbohidrat yang lain juga seharusnya dikurangkan. Ini adalah kerana kalori pada sesehari itu seharusnya dikurangkan. Untuk kepastian bahawa pemakanan yang dimakan tidak melebihi batas, catatan apa yang sering dimakan dalam sehari dan bincangkan dengan doktor.
* Senaman
Senaman juga penting tetapi ianya perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor. Senaman berfungsi dengan tiga cara iaitu membantu mengurangkan kalori yang lebih yang mungkin dimakan, membantu mengurangkan berat badan dan akhir sekali dapat juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (cardiorespiratory) kita. Satu kajian mengenai diabetis dalam tempoh 3 hingga 6 tahun mendapati senaman seperti berjalan selama dua setengah jam dalam tempoh seminggu boleh mengurangkan perkembangan diabetis sebanyak 40 - 60 peratus.
* Penjagaan berat badan
Telah dikenali mereka yang mempunyai berat badan tidak tinggi lebih mudah dikawal taraf gula di dalam darah mereka dan dengan itu ubat dapat dikurangkan. Sesetengah dari pesakit diabetis dapat menghentikan pengambilan ubat kesemua sekali setelah berat badan dapat dikawal.
* Pemeriksaan diri sendiri
Seseorang itu seharusnya berwaspada mengenai apa-apa perubahan pada badan mereka iaitu dari segi kulit (terutama pada bahagian kaki), rasa penat/kebas pada hujung jari tangan atau kaki dan apa-apa perubahan lain yang dirasakan. Selain dari itu, pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti terus dijalankan.
* Pemeriksaan oleh doktor secara tahunan
Ujian berkala secara tetap terutama yang berisiko tinggi mampu mengesan diabetis pada peringkat awal. Ini membolehkan penghidap diabetis mengambil langkah awal untuk merawat diri mereka. Rawatan awal diabetis juga mampu mengurangkan 30 hingga 70 peratus kegagalan buah pinggang berfungsi. Penjagaan anggota tangan dan kaki mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan komplikasi jangkitan sebanyak 45 - 85 peratus.
No comments:
Post a Comment