|
|
TANGISAN adalah satu-satunya medium komunikasi antara bayi dan penjaganya. Menerusi tangisan, bayi memberitahu bahawa sesuatu telah berlaku dan mereka memerlukan anda.
Bayi menangis disebabkan beberapa perkara. Sama ada mereka lapar, haus, terlalu panas atau sejuk, kelihatan pucat, kembung perut, dalam kesakitan, terlalu penat atau mungkin juga tidak selesa.
Keadaan yang berlaku mendadak pada diri mereka diluahkan dengan tangisan, justeru ibu bapa dan penjaga perlulah segera mendekati bayi mereka dan peluklah mereka untuk beberapa ketika.
Terdapat sesetengah bayi yang kerap menangis sejak dari hari pertama mereka lahir ke dunia ini. Sambil menangis, kaki mereka diangkat ke atas, tangan bergerak pantas, wajah bertukar merah dan mereka kelihatan begitu tertekan.
Lebih merisaukan keadaan tersebut sering terjadi ketika waktu tengah hari dan menjelang malam. Sesetengah bayi pula mengalami sindrom tangis apabila usia mencecah beberapa minggu. Selepas enam ke lapan minggu, tangisan bayi akan berkurangan dan mereka akan lebih tenang.
Tidak dinafikan ada bayi yang berterusan menangis lebih daripada usia tersebut dan jika ini berlaku pada bayi anda jangan panik. Tangisan itu hanya seketika berbanding jangka masa untuk membesar dan berkeadaan tenang jauh lebih lama.
Begitu pun, tangisan memang boleh mengundang kerisauan sekiranya ia amat kuat dan berterusan, terutama apabila anda sendiri tidak dapat mengenalpasti puncanya.
Mungkin sesuatu telah berlaku yang membuat bayi marah tapi anda tidak tahu apakah puncanya. Jangan sesekali tidak mempedulikan tangisan tersebut hanya kerana anda tidak dapat mengenal pasti puncanya.
Bayi tidak akan sengaja membuatkan anda risau dengan tangisan mereka. Bayi inginkan lebih perhatian, mereka perlu ditenangkan dan didukung apabila mereka menangis.
Sesetengah bayi, terutama yang aktif memerlukan lebih perhatian berbanding yang kurang aktif.
Yang pasti, bayi tidak akan menimbulkan perangai buruk atau menjadi mengada-ada sekiranya mereka dimanjakan oleh kedua-dua ibu bapa.
Apa yang harus dilakukan?
- Dukung
Pegang erat bayi anda, rapatkan dia ke dada dan usap belakangnya. Jangan sering bertukar posisi dukung, duduk atau bangun. Anda boleh juga mendodoi sambil berjalan perlahan. Ingatkan diri bahawa anda tidak boleh menghentikan tangisan bayi serta merta. Ia bukan mudah kerana ada bayi yang menolak jika anda ingin mendukung mereka, jika ini berlaku cuba juga tetapi dengan cara wajah mereka membelakangi anda.
- Pergerakan
Angkat bayi yang sedang menangis itu. Cuba letakkan mereka dalam kain pendukung bayi dan berjalan-jalanlah. Anda juga boleh membawa bayi keluar. Bayi suka melihat benda yang bergerak seperti pokok dan bayang, namun ingat mereka tidak suka akan pancaran matahari yang bersinar di mata mereka.
- Menghisap
Menghisap jari atau puting boleh membantu bayi menenangkan diri mereka dan seterusnya menghentikan tangisan. Jika bayi menghisap susu badan, cuba rapatkan puting pada mulutnya. Jika menghisap botol pula, cuba berikan botol berisi air suam.
- Mandian yang menenangkan
Sesetengah bayi akan berasa tenang dan seronok apabila mandi, tapi ada juga bayi yang langsung tidak menyukai cadangan ini. Mandian boleh membantu bayi untuk tenang daripada tangisan mereka. Penuhi bekas mandian bayi dengan air sejuk dan tambah sedikit air panas, pastikan ia tidak terlalu panas sebelum meletakkan bayi ke dalamnya. Jangan sesekali biarkan mereka sendiri di dalam bilik mandi.
- Urutan bayi
Gosok perut bayi secara lembut dan kemas dalam pergerakan membulat. Anda boleh mendapat maklumat tambahan tentang urutan bayi menerusi buku panduan mengurut bayi.
- Bermain
Cuba alih tumpuan tangisan bayi anda dengan mainan kegemarannya. Cara ini tidak akan berkesan sekiranya bayi anda terlalu penat dan cara ini mungkin akan menyebabkan tangisan mereka menjadi lebih teruk lagi. Jangan teruskan cara ini jika tidak berjaya menenangkan bayi anda.
No comments:
Post a Comment